KUCHING, 23 JUN — Misteri kejadian simbahan cat merah yang menghantui seorang individu di Kuching sejak bulan lepas kini terjawab dengan penangkapan tiga suspek di sebuah premis perniagaan di Matang.
Suspek tempatan yang berusia antara 23 hingga 32 tahun itu berjaya ditangkap Pasukan Khas (Vulture) yang diketuai Asp Marcel Ireneus Mustari dan Asp Simon Renang dalam satu operasi pada jam 1:30 petang.
Kesemua suspek tidak memiliki rekod lampau jenayah dan lulus ujian dadah dan ketiga-tiga merupakan agen sebuah syarikat peminjam wang berlesen.
Turut dirampas semasa serbuan ialah dua set komputer, fail-fail, buku-buku pelbagai rekod, buku catitan, kad perniagaan,borang pinjaman dan empat telefon bimbit.
Terdahulu, pihak polis telah menerima laporan daripada pengadu yang mendapati dua buah kenderaan dan pintu rumah telah dicat dengan cat merah berserta sekeping nota ugutan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah, kejadian ini merupakan insiden kedua dalam masa sebulan.
Kejadian pertama dikatakan berlaku pada bulan Mei.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan kerana unsur ugutan jenayah manakala insiden simbah cat disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.