KUCHING, 3 Nov: Polis memberi jaminan bahawa akan mempercepat dan menyemak semula siasatan kes kematian seorang pelajar perempuan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditemui meninggal dunia berhampiran sebuah pusat hiburan di sini pada 16 Oktober lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi meneruskan siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Kita telah menubuhkan ‘task force’ di Kuching untuk menyemak kembali siasatan, meneruskan dan mempercepatkan siasatan kes tersebut.
“Selepas itu, kita akan merujuk kepada Timbalan Pendawa Raya untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berikutan dengan siasatan kes yang masih dijalankan untuk menjaga sensitiviti mangsa.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah menyatakan mangsa telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan di sini. – TVS