Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengusaha belacan, Razuna Kiprawi ketika ditemui TVS di kediamannya di Jepak, baru-baru ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Bermula dengan modal RM50, belacan palas Jepak kini terbang ke New Zealand

ByHafeezzur Muzamir

JEPAK, 2 Nov: Bermula dengan modal hanya RM50, seorang suri rumah kini berjaya menjual produk belacannya sehingga ke New Zealand.

Razuna Kiprawi, 54, hari ini mampu tersenyum apabila menjana pendapatan mencecah lima angka setiap bulan hasil perniagaaan itu.

Bermodalkan RM50, belacan palas Jepak terbang ke New Zealand | Jepak Decides

Mengimbau detik awal terlibat dengan perniagaan itu, Razuna berkata, dia juga tidak terkecuali berdepan beberapa rintangan termasuklah kekangan modal serta ketiadaan perkakas seperti mesin.

“Ketika itu apabila hendak menambah stok bahan mentah, saya terpaksa tunggu sehingga hujung bulan sewaktu suami dapat gaji kerana sebagai suri rumah, saya tiada pendapatan,” katanya ketika ditemui TVS di kediamannya baru-baru ini.

Anak nelayan nelayan dari suku kaum Vaie di Jepak ini berkata, antara faktor dia ‘terjun’ ke dunia perniagaan ialah kerana mahu meningkatkan ekonomi keluarga selain mahu membiayai kos pendidikan anak-anaknya.

Pengusaha belacan, Razuna Kiprawi menunjukkan cara memproses belacan ketika ditemui TVS di kediamannya di Jepak, baru-baru ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

“Oleh itu saya memberanikan diri mengusahakan produk daripada hasil laut untuk dijadikan belacan.

“Pada awal jual belacan dahulu, orang tidak mahu membelinya namun lama kelamaan, mereka akan ingat siapa yang jual dan akan membelinya di kemudian hari,” katanya.

 

Antara produk belacan yang diusahakan Razuna Kiprawi. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Berkat kesungguhan dan sokongan daripada ahli keluarga, ibu kepada empat orang anak itu kini mampu tersenyum dan menarik nafas lega apabila produk keluarannya mendapat permintaan menggalakkan sehingga ke luar negara.

“Pada 2017 produk saya berjaya dipasarkan ke Singapura dan Brunei, malah ada yang datang dari New Zealand untuk beli,” ujarnya.

Selepas 25 tahun, Razuna kini berjaya menghasilkan 13 produk berasaskan belacan termasuk belacan kapsul, belacan blok, serbuk belacan, keropok berperisa belacan, ikan sate berperisa belacan dan ikan berperisa belacan.

Selain itu, dia juga berjaya mengeluarkan 19 produk berasaskan hasil tangkapan laut antaranya keropok keping ikan parang, keropok keping ikan tenggiri, keropok lekor keping, keropok lekor basah dan belacan goreng.

Pengusaha belacan, Razuna Kiprawi ketika ditemui TVS di kediamannya di Jepak, baru-baru ini. Foto: Fiqri Razak (TVS)

Sementara itu, Razuna berharap wakil rakyat Jepak yang baharu akan dapat membantu usahawan wanita di kawasan pinggir bandar itu dengan membuka sebuah pusat jualan bagi memudahkan mereka menjual produk.

“Saya cadangkan bina satu bangunan untuk usahawan wanita kerana di Jepak banyak usahawan terutamanya ibu tunggal yang mempunyai produk tetapi tidak tahu bagaimana untuk memasar dan mengkomersialkan produk mereka.

“Menerusi bangunan itu juga, pelancong akan tahu di mana hasil laut di Bintulu dijual, ia sekali gus akan membantu usahawan tempatan di sini,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan