Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada majlis pelancaran Festival Filem Eropah ke-24 di Kuching, malam tadi. Foto: YB Karim Hamzah (FB)

Cuaca panas antara tarikan pelancong Eropah ke Sarawak – Abdul Karim

KUCHING, 2 Nov: Sarawak dan Malaysia amnya menjadi destinasi tarikan bagi para pelancong dari negara-negara Eropah kerana faktor antara lainnya cuacanya yang panas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kehadiran para pelancong amat dihargai kerana ia merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kepada rakan-rakan warga Norway, cuaca cerah dan panas di Sarawak dan Malaysia secara amnya adalah sesuatu yang mungkin ‘dicemburui’,” katanya berucap pada majlis pelancaran Festival Filem Eropah ke-24 di sini, malam tadi.

Katanya, majoriti penduduk Eropah turut mengaitkan Sarawak dengan Festival Muzik Hutan Hujan (RWMF) yang diadakan setiap tahun di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Petunjuk positif itu menandakan ramai masyarakat Eropah menonton RWMF dan mengikuti perkembangan muzik pada festival berkenaan yang menampilkan kumpulan-kumpulan muzik dari seluruh dunia.

“Nampaknya selepas beberapa tahun penganjuran RMWF, lebih banyak negara terutamanya media Eropah mengetahui tentang festival ini.

“Ia adalah sesuatu yang baik kerana jumlah pelancong dari Eropah juga akan meningkat,” jelasnya.

Festival Filem Eropah di sini pada tahun ini dimulakan dengan tayangan filem Norway berjudul ‘Operation Arctic’ di GSC CityONE Megamall.

Filem tahun 2014 itu berkisar tentang kisah pengembaraan kanak-kanak yang inovatif, ingin tahu dan berani, secara tidak sengaja tertinggal di persekitaran sejuk, gelap serta berbahaya di Kepulauan Savalbard di utara Lautan Artik.

Abdul Karim berkata, beliau percaya filem memaparkan kisah tiga kanak-kanak kecil yang berjuang untuk kelangsungan hidup dalam iklim sejuk dan Arktik Svalbard itu akan menarik dan mengujakan penonton.

EUFF yang diadakan secara tahunan di Malaysia itu kini kembali di Kuching selepas empat tahun menyepi, dengan sejumlah 11 filem ditayangkan di GSC CityONE Megamall mulai hari ini hingga Ahad ini.

Filem-filem yang bakal ditayangkan ialah ‘Rising Hawk’ (Ukraine), ‘Last Dance’ (Switzerland), ‘Brothers’ (Belanda), ‘Goya in Bordeaux’ (Sepanyol), ‘Neither With You’ (Hungary), ‘The Restless’ (Belgium) dan ‘Imad’s Childhood’ (Sweden).

Tidak kurang menarik untuk ditonton ialah filem ‘We Still Talk’ (Itali), ‘Parents vs Influencers’ (Itali), ‘Mr Jones’ (Ukraine) dan ‘Ramona’ (Sepanyol). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan