JEPAK, 1 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee disifatkan seorang pemimpin berpandangan jauh dan mampu membawa pembangunan di kawasan diwakilinya kelak.
Rata-rata penduduk Jepak yang ditemui TVS mengakui mengenali calon yang ditampilkan GPS itu dan senang dengan perwatakan dan personaliti bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak itu.
Bagi pemilik kafe, Wan Zainal Abidin Wan Abdul Rahman, 54, dirinya mengakui Iskandar seorang individu yang prihatin dengan keperluan penduduk setempat dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
“Dari segi personaliti dan kerja, saya rasa beliau merupakan seorang yang betul-betul kuat bekerja dan saya yakin beliau mampu membawa Jepak ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Saya yakin 100 peratus dia adalah calon yang tepat dipilih oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita yakin dengan Iskandar sebab beliau adalah seorang yang sentiasa bekerja keras, mempunyai karisma, dan sentiasa meningkat dari segi apa yang dia lakukan,” katanya ketika ditemui TVS di kafe miliknya baru-baru ini.
Senada dengannya, peniaga sayur-sayuran, Salieh Mat, 65, yang menyifatkan Iskandar mampu menyumbang dalam pembangunan masyarakat dan pada masa sama meneruskan legasi yang ditinggalkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
“Mudah-mudahan dia nanti seperti mantan ADUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip yang sentiasa membantu kami apabila kami memerlukan. Saya sokong beliau (Iskandar) kerana dia anak Vaie, jadi saya percaya dia mesti ikut cara Vaie. Saya doakan mudah-mudahan dia dipilih untuk menjadi wakil rakyat kami di Jepak,“ katanya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Iskandar, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Hari pengundian PRK Jepak membabitkan 22,804 pemilih akan diadakan pada 4 November ini. – TVS