BINTULU, 31 Okt: Dekati pengundi secara bersemuka menerusi program-program rakyat, itu cara kempen yang digunakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata GPS tidak akan menganjurkan ceramah mega seperti dilakukan parti-parti lawan.
Menurutnya, program mendekati rakyat akan diperkasakan sebagai pecutan terakhir menjelang habis tempoh kempen pada tengah malam Jumaat.
“Jentera pilihan raya GPS telah membahagikan tugas masing-masing untuk mendekati pengundi terutamanya di kawasan luar bandar.
“Saya juga telah mengarahkan calon GPS kita, Iskandar Turkee, untuk bergerak menyantuni pengundi-pengundi di kawasan rumah panjang mahupun kampung serta pinggir bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sembang Santai Bersama Pemimpin di Rh Fabian Jembu, Sungai Setiam, KM37 Jalan Jepak-Kuala Tatau di sini, hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Iskandar, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Hari pengundian PRK Jepak membabitkan 22,804 pemilih akan diadakan pada 4 November ini. – TVS