SIBU, 31 Okt: Sembilan kanak-kanak dan remaja dari ‘Kumpulan Dino’ ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah masuk dan curi kedai kopi dan kedai runcit yang membabitkan kerugian berjumlah RM10,500.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, semua mereka berusia antara 11 hingga 16 tahun dan ada yang masih bersekolah ditahan di beberapa lokasi di pusat bandar.
Menurutnya, polis menerima satu laporan berhubung kes pecah masuk dan curi di sebuah kedai kopi berhampiran pusat bandar pada 7.20 pagi Ahad lalu. Tangkapan dilakukan pada 29 hingga 30 Okt.
“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu turut berjaya merampas pelbagai barang kes untuk dijadikan sebagai barang bukti bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Semua suspek yang ditahan adalah di bawah kategori tangkapan kanak-kanak yang tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
“Siasatan awal pihak kami mendapati modus operandi kumpulan ini menyasarkan kedai kopi dan kedai runcit yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup pada waktu lewat malam atau awal pagi.
“Kumpulan ini dikatakan bergiat aktif sejak Mei 2023 juga memecah masuk dengan mengumpil pintu ‘roller shutter’ mencuri pelbagai jenis barangan runcit dan wang tunai,” katanya.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 3 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahah boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun, didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Zulkipli berkata, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan sembilan kes pecah masuk dan curi kedai kopi dan kedai runcit di sekitar pusat bandar Sibu dengan tertangkapnya ahli kumpulan tersebut. – TVS