Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Azyrin dan Nor Safawati ketika ditemui TVS TVS. Foto: TVS

PRK Jepak: Wakil rakyat baharu teliti kadar sewa, naik taraf Pasar Ikan Sebiew

ByHafeezzur Muzamir

JEPAK, 31 Okt: Kadar sewa dan inisiatif menaik taraf Pasar Ikan Sebiew antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh wakil rakyat Jepak yang baharu setelah diberi mandat pada 4 November nanti oleh pengundi di sini.

Rata – rata peniaga yang ditemui TVS di pasar berkenaan mengharapkan isu terbabit ditangani segera agar pasar itu terus ‘bernyawa’ sekali gus mengelakkan peniaga di situ daripada angkat kaki.

Menurut Mohd Azyrin Mendeli, dirinya menyifatkan kadar sewaan bulanan yang dibayar peniaga di pasar itu tidak setimpal dengan keadaan pasar yang semakin daif.

“Paling penting harga sewaan dikurangkan sebab sekarang ini harganya mahal RM 1,600 tidak sesuai dengan tempat macam ini. Selain itu, penambahbaikan terhadap jeti di pasar ini sebab ia dah roboh.

“Harga sewa semakin naik tetapi jeti tidak diperbetulkan, jadi kami minta wakil rakyat baharu kelak dapat lihat perkara ini,” katanya ketika ditemui TVS di pasar ikan itu baru-baru ini.

Senada dengannya, seorang lagi peniaga, Nor Safawati yang mahukan pasar itu dinaik taraf segera terutama dari segi penyediaan bekalan air memandangkan ia merupakan keperluan harian setiap peniaga di situ.

“Sepatutnya pemimpin yang terpilih nanti dapat menaik taraf pasar ini seperti Pasar Tamu, Bintulu. Seeloknya dilakukan kerana kita mahu pelanggan yang datang ke sini berasa selesa, kalau tempat ini kotor mereka lari pergi ke pasar lain.

“Satu perkara lagi ialah bekalan air untuk kegunaan peniaga seperti saya untuk mencuci dan memotong ikan,” luahnya.

Menurut Mohd Azyrin dan Nor Safawati, perkara berbangit berkenaan juga telah diutarakan kepada calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak sewaktu mereka berkempen di pasar itu baru-baru ini.

Justeru itu, mereka berharap isu berkenaan dapat diatasi segera oleh wakil rakyat baharu Jepak sebaik sahaja memulakan tugas nanti.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan