BALIÂ (INDONESIA) 30 Okt: Presiden Indonesia, Joko Widodo merupakan antara tetamu kehormat yang dijangka mendengar perkongsian Sarawak mengenai usaha wilayah itu meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui.
Ini susulan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari dijadual menyampaikan ucapan beliau pada pembukaan Kongres Tenaga Hidro Dunia (WHC) ke-9 yang bermula esok.
Difahamkan, Abang Johari akan menyentuh kepakaran serta pengalaman luas Sarawak dalam hidrogen hijau dan solar yang dijana oleh kuasa hidro boleh diperbaharu.
Sebelum itu, Abang Johari dijadual bertemu Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa, Malcom Turnbull juga yang bekas Perdana Menteri Australia sempena ASEAN High Level Forum Dialogue.
Terdahulu, Abang Johari tiba di Bali petang tadi diiringi oleh Menteri Utili dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta timbalannya, Datuk Liwan Lagang.
Beliau kemudiannya menyertai majlis makan malam anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) sebelum hadir sesi taklimat tertutup bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili.
Turut serta, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. – TVS