KUALA LUMPUR, 30 Okt: Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata hal ini memandangkan ketika ini, rata-rata peniaga menjual ayam jauh lebih rendah daripada harga siling ditetapkan sejak Februari 2022 iaitu RM9.40 sekilogram, selain jaminan pembekal bahawa bekalan sumber protein itu mencukupi buat masa ini dan masa hadapan.
“Oleh itu, kalau berlaku pengapungan kita berkeyakinan harganya tidak akan naik mendadak, ia akan stabil, kalau naik mendadak kita akan tanya kenapa, sebab bekalan cukup.
“Yang selalu naik mendadak bila bekalan tidak cukup, sekarang pihak pembekal jamin bahawa bekalan cukup dan kalau tak cukup kita siap sedia bawa dari luar dengan segera,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad berkata rasional penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Mohamad berkata penamatan subsidi ayam itu selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling.
Dalam hal itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.
“Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.
“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Okt 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” katanya. – TVS