KUCHING, 28 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat memperkasakan tahap kesedaran terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam membentuk masyarakat MADANI.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya turut menyediakan bantuan dan program bagi membantu meningkatkan kualiti hidup OKU.
Menurutnya penganjuran Seminar Kesedaran Autisme dengan bertemakan Early Detection: Creating Decisive Change through positive action juga adalah langkah intervensi dalam memperkasakan pembangunan terhadap golongan OKU untuk mendapat hak sama rata dan kebajikan mereka dijaga.
Nancy menambah antara program yang akan diadakan adalah melaksanakan Kempen Pendaftaran Orang Kelainan Upaya.
“Kelebihan pendaftaran ini membolehkan mereka menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan (facilities and privileges)yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta.
“Walaubagaimanapun saya percaya masih ramai lagi di luar sana yang tidak tahu atau belum membuat pendaftaran OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Autisme Peringkat negeri Sarawak 2023 di Sekolah Seni Sarawak Malaysia Kuching pada Sabtu.
Tambah Nancy, pihak KPWKM turut bercadang untuk membangunkan modul intervensi awal kanak-kanak OKU yang melibatkan semua kategori termasuk autisme sebagai panduan kepada pengusaha dan pengasuh taska OKU.
“Pembangunan modul ini melibatkan sub modul Perkembangan Fizikal, perkembangan kognitif, perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal, perkembangan kreativiti dan estetika, perkembangan sosial emosi, pengurusan diri, komunikasi, aktiviti berdasarkan tahap umur dan sebagainya,” ujarnya.
Untuk Rekod, sehingga September 2023 seramai 258,476 orang telah berdaftar di bawah kategori Kurang Upaya Pembelajaran.
Daripada jumlah ini seramai 50,811 orang dikategorikan di bawah sub kategori autisme di seluruh Malaysia. -TVS