Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni menyaksikan sesi penyerahan kunci Klinik Kesihatan Bandaraya Miri daripada Jurutera Bahagian Miri Jabatan Kerja Raya (JKR), Stephen Ung Neng Hui kepada Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Zairi Mat Ali pada Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Bandaraya Miri pada hari ini. Foto: TVS

Kerajaan Sarawak giat tuntut autonomi kesihatan – Lukanisman

MIRI, 27 Okt: Kerajaan Sarawak sedang giat menuntut autonomi kesihatan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini agar pembangunan kesihatan di Sarawak dapat dipercepatkan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni.

Menurut Lukanisman, tuntutan yang dibuat merangkumi untuk mewujudkan serta menambah klinik-klinik komprehensif di seluruh negeri ini.

“Kerajaan Sarawak sedang memohon untuk autonomi kesihatan iaitu penurunan kuasa di peringkat persekutuan kepada peringkat negeri untuk menentukan kaedah terbaik untuk memastikan tahap pembangunan kesihatan di Sarawak dapat dipercepatkan.

“Antara tuntutan yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak adalah keperluan untuk mewujudkan klinik-klinik yang komprehensif, memperbanyakkan lagi klinik jenis dua dan jenis tiga di bahagian-bahagian negeri Sarawak,” katanya pada Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Bandaraya Miri di sini, hari ini.

Lukanisman mendedahkan tumpuan tuntutan berkenaan ekoran keperluan klinik kesihatan yang lebih mendesak di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Kita perlu melihat keperluan klinik yang lebih mendesak di kawasan bandar dan pinggir bandar. Saya berhasrat untuk membina hospital di kawasan saya, tetapi kita memberi tumpuan terlebih dahulu untuk membina klinik kesihatan jenis tiga seperti yang telah diluluskan klinik kesihatan jenis tiga di Sepupok. Saya akan usahakan mewujudkan satu lagi klinik di kawasan Parlimen Sibuti,” ujarnya.

Selain masalah kekurangan klinik, dedahnya terdapat juga masalah klinik-klinik daif dan setakat tahun ini, 38 klinik-klinik daif telah dinaik taraf.

Justeru itu, beliau berharap pada tahun hadapan lebih banyak lagi klinik-klinik daif dapat dinaik taraf dengan peruntukan di bawah Bajet Belanjawan 2024 sebanyak RM300 juta untuk tujuan berkenaan.

Lukanisman dalam pada itu juga menambah Kerajaan Sarawak berhasrat untuk menjadikan Hospital Miri dan Hospital Sibu sebagai hospital wilayah selain Hospital Umum Sarawak (SGH) di Kuching bagi memperluaskan kepakaran dan perkhidmatan kesihatan sekali gus tidak membebankan masyarakat untuk melakukan penerbangan ke Kuching untuk rawatan kecemasan.

Pada masa sama beliau meyedari masalah tempat letak kereta yang berlaku di Hospital Miri dan bagi mengatasi masalah tersebut, melalui kaedah di dalam Kertas Putih pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan kerjasama dari pihak awam dan swasta pada masa akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan