DARO, 27 Okt: Penantian penduduk Kampung Sawai untuk menikmati kemudahan elektrik 24 jam bakal berakhir apabila kerja penyambungan kemudahan itu siap sepenuhnya selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, projek yang keseluruhannya bernilai RM21 juta itu merangkumi beberapa rumah panjang di kawasan tersebut.
Menurutnya, kerja pemasangan pendawaian elektrik di dalam rumah yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu kini sudah selesai.
“Berdasarkan Mesyuarat Penyelarasan, Pemantauan dan Pelaksanaan Projek (RES), bagi kawasan saya di Sibu baru- baru ini, kita dimaklumkan bekalan elektrik untuk keseluruhan kampung ini akan disalurkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini,” katanya ketika menghadiri Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawai, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Safiee memberitahu, kerajaan melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) meluluskan RM58 juta bagi pelaksanaan fasa pertama projek pembinaan jalan raya untuk Kampung Sawai.
Projek melibatkan pembinaan laluan sepanjang 13 kilometer menghubungkan kampung itu dengan jalan raya yang terdekat sekali gus mengakhiri penantian penduduk sejak sekian lama.
“Dengan terlaksananya projek ini nanti, kawasan ini tidak lagi terpencil kerana jarak untuk ke Sibu mungkin dalam sekitar kurang daripada satu jam, sudah pasti menjadikan perhubungan kampung ini bukan lagi menjadi satu masalah,” ujarnya.
Menyentuh kemudahan elektrik untuk SK Kampung Sawai, Safiee berkata, kerajaan membantu menyelesaikan masalah itu dengan menyediakan solar.
Namun sebagai langkah jangka panjang katanya, bekalan elektrik sekolah berkenaan akan disambungkan terus melalui sistem grid yang sedang dalam pelaksanaan. – TVS