KUCHING, 26 Okt: Doa adalah senjata mukminin dalam mengiringi perjuangan rakyat Palestin, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Menurutnya, bacaan surah Yasin dan solat hajat juga adalah langkah terbaik dalam memberi ketenangan serta keselamatan kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.
“Kita umat Islam di Sarawak merasa amat simpati dengan kejadian yang sedang berlaku dan senjata umat Islam adalah berdoa.
“Marilah kita sama-sama berdoa pada Allah S.W.T memohon kepada-Nya agar memberi kejayaan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mendaulatkan negara mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Munajat Rakyat Sarawak Untuk Rakyat Palestin di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, malam ini.
Majlis itu dihadiri kira-kira 2,000 para jemaah.
Perhimpunan yang juga diadakan di semua masjid dan surau di seluruh Sarawak itu mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap rakyat Palestin susulan konflik.
Mengenai pemahaman konflik Palestin dan Israel dalam kalangan komuniti terutama di media sosial, Dr Abdul Rahman berkata maklumat disebarkan mesti sahih.
“Kita menerima banyak maklumat yang sahih dan tidak sahih, terutama di media sosial. Kita berharap agar kita di Sarawak dapat membuat saringan ke atas maklumat ini dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Dr Abdul Rahman turut menyeru orang ramai agar memberi sumbangan kepada Tabung Palestin bertujuan membantu rakyat Palestin.
“Tabung bantuan yang diselenggarakan oleh Masjid Islam Sarawak sentiasa ada di masjid dan surau dan di lokasi-lokasi tertentu.
“Ia bukan untuk umat Islam sahaja, semua rakyat Sarawak boleh memberi bantuan agar meringankan beban derita yang dialami oleh rakyat Palestin,” katanya. – TVS