SERIAN, JUN 22 — Kaedah pendaftaran vaksinasi secara hibrid ternyata lebih berkesan bagi penduduk kawasan luar bandar.
Sebagaimana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bahagian Serian yang merangkumi Serian, Siburan dan Tebedu, pendaftaran secara manual melebihi jumlah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daerah Serian dan Siburan mencatatkan 44,386 pendaftaran secara manual berbanding 30,831 yang mendaftar melalui MySejahtera.
Beliau yang turun padang melawat PPV Dewan Masayarakat Serian pada Selasa, Jun 22 turut berpuas hati dengan perkembangan tersebut.
“Di luar bandar, kita menggunakan kaedah MySejahtera dan pendaftaran manual bagi mempercepatkan proses vaksinasi,” ujar beliau.
Setakat Isnin, sebanyak 33,193 suntikan telah diberikan bagi seluruh kawasan Serian.
Sementara itu, Uggah yang juga merupakan Pengerusi Jawantankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak turut mengatakan bahawa Sarawak kini memasuki fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Bermula hari ini, semua individu berumur 18 tahun ke atas yang layak akan diberi suntikan vaksin,” kata Uggah.
“Kalau kita ada fasa di luar bandar akan timbul banyak masalah,” tambahnya lagi.
Di bawah pelaksanaan program berkenaan, fasa pertama adalah untuk golongan barisan hadapan manakala fasa kedua adalah untuk golongan warga emas dan golongan rentan.
Dalam perkembangan yang sama, Uggah berkata bahawa stok baharu untuk dos kedua vaksin AstraZeneca akan tiba dalam masa enam minggu.
Ini berikutan kesemua dos pertama vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) habis dalam tempoh dua minggu pelaksanaannya.