LIMBANG, 26 Okt: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua nelayan yang hilang sejak Ahad lepas tidak dapat diteruskan susulan penemuan bot mangsa berada di perairan negara Brunei Darussalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, kawasan terbabit juga cetek dan hanya boleh dilalui semasa air pasang sahaja.
Beliau menjelaskan penggunaan pesawat udara dan dron juga tidak dapat dilakukan berikutan lokasi tersebut merupakan perairan negara Brunei.
“Pihak Konsulat Brunei, Ketua Polis Brunei Muara dan Temburong juga telah dihubungi bagi perkongsian maklumat jika ada maklumat mengenai orang hilang ini.
“Sehingga ini, kita masih menunggu pengesahan dari pihak berkuasa negara Brunei sama ada orang hilang ada ditangkap oleh pihak berkuasa negara Brunei atau sebaliknya dan tiada penemuan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Parum berkata lagi, selain Brunei, pihak berkuasa di sempadan Limbang, Lawas, Sipitang, Beaufort dan Wilayah Persekutuan Labuan turut dimaklumkan mengenai kes kehilangan mangsa.
Berdasarkan kronologi kes, dua nelayan Hamdanie Mustapa 39, dan rakannya Mohd Asrol Karim 37, dari Kampung Limpaku Pinang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar untuk menangkap ikan jam 3 pagi Ahad lepas sebelum kerja pencarian dilakukan penduduk kampung.
Pencarian yang dibuat oleh penduduk Kampung menemui bot nelayan yang digunakan oleh mangsa di Kuala Limbang dalam keadaan karam di kawasan cetek berdekatan Pulau Siarau (Pulau Negara Brunei dan kawasan perairan Negara Brunei) sekitar jam 4 petang pada hari yang sama. – TVS