BINTULU, 26 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee berhasrat memperkasakan ekonomi digital terutama dalam kalangan peniaga-peniaga kecil di sini.
Menurut beliau, ia adalah selari dengan sasaran Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan ekonomi digital dan secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
“Pada program Kursus Kemahiran Quick Win Menjahit di Pusat Komuniti Digital Kampung Jepak Hulu, saya mendapat satu maklumbalas positif daripada peserta-peserta yang mereka sangat berminat untuk belajar dan mahu memasarkan produk kecil-kecilan mereka melalui platform digital.
“Bukan itu sahaja, mungkin kita juga boleh mengkaji untuk mengadakan program-program industri hiliran memandangkan industri di kawasan ini adalah daripada industri perikanan serta menambahbaik dari segi produk-produk tempatan seperti belacan, ikan, ikan masin dan sebagainya dan kita akan lihat bagaimana untuk meningkatkan pemasaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Pemimpin bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) anjuran Pertubuhan Pengurusan Jenazah Ummah Bintulu (PPJUB) di Kampung Sebuan Baru Jepak di sini pada Rabu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Dr Ripin Lamat dan Pengerusi PPJUB Abdul Kadier Sahib.
Sehubungan itu, sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat kelak, Iskandar juga mahu membawa agensi-agensi berkaitan ke kawasan DUN Jepak untuk menganjurkan lebih banyak latihan kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka
Dalam masa sama, mereka juga boleh menjana pendapatan daripada kemahiran tersebut dan meningkatkan ekonomi setempat dan mengambil kesempatan menceburi dalam bidang ekonomi digital.
Bukan itu sahaja, beliau juga akan menganjurkan lebih banyak program ‘added value’ terutamanya kepada golongan belia untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka yang dilihatnya Bintulu mempunyai banyak industri yang memerlukan tenaga-tenaga mahir. – TVS