Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia perlu merebut peluang serta memanfaatkan pasaran halal. Foto, AFP.

Malaysia perlu kekal peneraju pasaran halal bernilai US$3 trilion – HDC

ByBernama

LONDON, 25 Okt: Malaysia perlu merebut peluang serta memanfaatkan pasaran halal yang dianggarkan bernilai US$3 trilion (US$1=RM4.7780) dan seterusnya mencecah US$5 trilion pada 2030, kata Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Khairul Azwan Harun.

Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau berkata selain memastikan tidak alpa, adalah penting untuk terus mempromosi industri halal Malaysia, sekali gus dapat melonjakkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam pembangunan ekosistem halal global.

Berteraskan kepentingan itu, HDC melaksanakan pelbagai usaha, termasuk membawa penganjuran acara tahunannya Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) di ibu kota London pada 27-28 Okt, 2023, bagi mengukuhkan lagi penjenamaan industri halal tersebut.

WHBC Circuit 2023 yang akan dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), merupakan edisi yang ke-15 dan kedua diadakan di luar negara selepas WHBC Melbourne pada tahun lepas.

Khairul Azwan menjangkakan persidangan tersebut dapat menarik 500 peserta termasuk dari United Kingdom (UK), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Afrika Selatan, China, Jepun dan Turkiye.

Acara tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menyampaikan ucaptama pada 27 Oktober.

Selain Ahmad Zahid, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan turut berucap pada WHBC.

Menjelaskan lagi keupayaan Malaysia, Khairul Azwan berkata bagi merebut peluang dalam pasaran halal yang menguntungkan, Malaysia bersedia untuk mengembangkan lagi sumbangan ekonomi halal kepada RM230 bilion pada 2030 atau 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding RM60 bilion pada 2022.

Penjenamaan halal Malaysia juga, katanya, turut diiktiraf oleh 84 badan pensijilan dari 47 negara dan atas alasan itu bagi mengekalkan serta mengembangkan usaha itu, wujud keperluan bagi mengadakan persidangan itu di luar negara.

“Bagi memperkasa industri halal Malaysia serta seiring dengan peranan HDC dalam aspek proses di peringkat pra dan pasca kelulusan halal, HDC akan memperkenalkan Platform Digital Halal Negara (NHDP) yang menawarkan platform digital serba komprehensif yang memastikan proses secara cekap dan lancar.

“Ini salah satu daripada usaha strategik HDC bagi menambah baik peringkat pra dan pasca kelulusan proses pensijilan halal Malaysia. NHDP juga bertujuan bagi merevolusikan proses permohonan halal,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan yang disahkan halal di Malaysia adalah sebanyak kira-kira 8,000 hingga 9,000 yang disertakan dengan anggaran 1.2 juta unit stok penyimpanan.

Justeru, bagi mengekalkan Malaysia sebagai peneraju dalam pertumbuhan industri halal, Khairul Azwan berkata kerajaan telah memperkenalkan konsep “Diplomasi Halal” yang menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antarabangsa, memupuk kerjasama dan pengharmonian ekosistem dalam kalangan negara-negara di serata dunia.

“Diplomasi Halal itu satu rangka kerja baharu dibangunkan oleh Kementerian Luar, MITI dan HDC. Kami komited dalam membuka peluang kepada pemain industri halal negara untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Khairul Azwan berkata Malaysia turut dikenali sebagai pembekal utama pelbagai produk dan perkhidmatan disahkan halal seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal, kewangan dan pelancongan.

Tidak ketinggalan, usaha memacu pertumbuhan ekonomi halal Malaysia turut menyaksikan kerajaan melancarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) pada Mac, 2023.

“The HIMP2030 jelas menggariskan bagaimana Malaysia secara strategik dapat mengambil peluang daripada peningkatan permintaan global bagi produk-produk dan perkhidmatan halal selain mengukuhkan peranan negara sebagai peneraju dengan memanfaatkan ekosistem halal dan mengumpulan kepakaran.

“Sejajar dengan HIMP2030, acara WHBC 2023 ini akan meninjau peluang kerjasama yang merentasi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan, teknologi dan sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Persidangan tahun ini akan turut menyaksikan Ahmad Zahid mengumumkan kerjasama HDC dengan enam institusi kewangan dalam usaha menyediakan akses pembiayaan bagi pemain industri yang besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal tahun depan.

“Kemudahan dana itu antara lainnya, bagi membantu dalam usaha pembangunan syarikat-syarikat halal tempatan menembusi pasaran halal global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata persidangan bertemakan “Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan” itu akan turut menghimpunkan kalangan ketua-ketua kerajaan, ahli akademik dan kapten industri untuk saling berbincang, berkongsi pengetahuan dan memudahkan pertumbuhan ekonomi halal global.

Beliau turut menyifatkan persidangan itu sebagai platform bagi komuniti perniagaan global untuk menjalin aspek jaringan.

Atas kepentingan itu, HDC membawa kira-kira 40 pengeksport dari Malaysia ke UK dengan pelbagai sesi padanan perniagaan diatur untuk mereka dengan rakan kongsi berpotensi.

“Institut Halal HDC akan mengendalikan beberapa sesi bagi meningkatkan kesedaran amalan halal dan mengemas kini mengenai proses pensijilan halal.

“Malah, satu program lawatan industri halal akan diadakan bagi memudahkan pertukaran pengetahuan antara kalangan usahawan Malaysia dan rakan mereka di UK,” katanya.

Menurut Hairol Ariffein, UK dan Malaysia turut berkongsi perhubungan dagangan dan pelaburan yang mantap dan berteraskan perngiktirafan bersama bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan dengan penganjuran persidangan di London tahun ini, para peserta Malaysia dapat meninjau peluang kerjasama dengan rakan kongsi berpotensi yang merentasi pelbagai sektor.

“Ini termasuk sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan, ESG serta teknologi,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan