KUCHING, 25 Okt: SME Corporation Malaysia (SME Corp) bekerjasama dengan Kementerian Luar dan Japan International Cooperation Agency (JICA) menganjurkan Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2023 yang memanfaatkan peserta dari 13 buah negara di Afrika.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, program tahun ini merupakan kesinambungan program berkenaan yang telah dilaksanakan sejak 2011.
“Pada tahun ini, seramai 13 delegasi dari Botswana, Burkina Faso, Ghana, Kenya, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Somalia, Afrika Selatan, Uganda, Zambia, Zimbabwe dan Namibia telah dipilih menyertai TCTP.
“Ini menunjukkan komitmen berterusan SME Corp untuk mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan seterusnya menerajui inisiatif Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia ke peringkat global,” katanya menerusi kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.
SME Corp sediakan geran khusus untuk usahawan Sabah dan Sarawak
Mengulas lanjut, Rizal berkata, pada masa akan datang, SME Corp merancang untuk melaksanakan lebih banyak program sedemikian yang memberi impak kepada PMKS.
Program TCTP merupakan platform pertukaran pandangan dan perkongsian kejayaan bagi amalan terbaik mengenai pembangunan PMKS di Malaysia dan Jepun.
Menerusi program itu, peserta berpeluang berinteraksi dengan lebih 20 organisasi berkaitan di Malaysia.
“Bidang tumpuan lain termasuk mempermudah akses pasaran, pengantarabangsaan PMKS dan kepentingan aspek kewangan bagi meningkatkan pertumbuhan,” tambahnya.
Selain itu para peserta juga didedahkan dengan dunia perniagaan melalui lawatan ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) serta dua syarikat tempatan, iaitu Boom Grow dan Kumpulan Aerodyne.
Sementara itu, peserta dari Zambia, Musheke Kakuwa menerima anugerah Pelan Tindakan Terbaik TCTP 2023 atas pembentangannya yang menyeluruh manakala anugerah Peserta Terbaik menjadi milik Nancy Theopolina Mupiya dari Namibia. – TVS