KUCHING, 24 Okt: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank Malaysia) memeterai perjanjian pembiayaan dengan Hab Inovasi Teknologi Perubatan Sarawak (SMITH) bagi mengukuhkan sokongan ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab penjagaan kesihatan terunggul di rantau ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank EXIM Arshad Ismail berkata, kerjasama pihaknya dengan SMITH merupakan bukti untuk memupuk inovasi dan kemajuan dalam penjagaan kesihatan.
“Kami menyediakan sokongan kewangan dan keselamatan yang diperlukan untuk memacu masa depan teknologi perubatan dalam memastikan inovasi tidak mengenal batas dan isu pengangguran ditangani,” katanya.
Perjanjian itu dijangka dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menurunkan kadar pengangguran serta meletakkan Sarawak sebagai salah satu pemain global dalam industri farmaseutikal melalui projek SMITH.
Pelaksanaan projek itu juga adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada peralatan dan ubat-ubatan farmaseutikal import.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMITH, Robert Hardin berkata, jalinan kerjasama itu menunjukkan keyakinan terhadap projek mereka.
“Menerusi sokongan yang diberikan kepada projek ini, ia bukan sahaja akan mengembangkan Tanjung Kidurong di Bintulu tetapi juga Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan dengan lebih banyak peluang pekerjaan dapat dijana sepanjang pelaksanaan projek ini,” katanya.
Pada Mac lepas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak melihat pelaksanaan projek SMITH di Bintulu sebagai peluang besar dalam rantaian bekalan penjagaan kesihatan global.
SMITH merupakan hab perubatan yang menampilkan pengilangan peranti perubatan dan teknologi pengkomersilan, dan dikategorikan kepada beberapa sektor termasuk pembuatan peranti perubatan dan farmaseutikal, inovasi, transformasi digital dan agro komoditi.
Fasa pertama project SMITH ialah fasiliti pembuatan sarung tangan perubatan di SEDC Petchem Industrial Park dengan keluasan tanah 36 ekar. -TVS