BINTULU, 24 Okt: Rancangan memperkenalkan pendidikan universiti percuma oleh kerajaan Sarawak merupakan langkah terbaik terutamanya bagi golongan tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian.
Menurut seorang guru SeDidik, Andi Sait, ia sudah semestinya satu inisiatif terbaik untuk mereka bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus berusaha menaik taraf ekonomi keluarga.
“Saya sangat-sangat bersyukur kerana inisiatif berkenaan adalah satu inisiatif yang ditunggu-tunggu oleh kami terutamanya kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak kita melangkah ke menara gading.
“Ini kerana di antara mereka mempunyai kemahiran ‘hands-on’ yang sudah semestinya dapat membantu dalam pembangunan ekonomi Sarawak dan ini adalah satu berita gembira untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Santai Bersama Pemimpin di Rh Sait Jaya, hari ini.
Inisiatif pendidikan percuma dijadual dilaksanakan pada 2026 seperti diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, beliau juga berharap agar bakal wakil rakyat kelak untuk memberi fokus kepada golongan kanak-kanak dalam pembangunan sekolah.
“Saya sebagai pendidik berharap agar kanak-kanak diberikan aktiviti yang sihat untuk mengisi masa lapang mereka,” katanya. – TVS