JEPAK, 24 Okt: Bergelar seorang anak sulung sememangnya bukan mudah kerana ia datang dengan tanggungjawab yang besar.
Bukan sahaja diharapkan untuk membantu ibu bapa menjaga adik-adik, malah anak sulung juga turut menggalas tugas menyara keluarga sehingga terpaksa mengorbankan impian sendiri.
Itu yang dialami seorang wanita dari Jepak, Nor Safawati, 26, apabila hasratnya menyambung pelajaran tertangguh sejak sekian lama.
Dia yang bekerja sebagai penjual ikan terpaksa berkorban melupakan impiannya kerana tanggungjawab dipikul dan tidak diberi keizinan oleh keluarga untuk berjauhan bagi menyambung pelajaran.
“Sejak daripada zaman sekolah, saya banyak berkorban, saya tiada rezeki sambung belajar kerana tidak diberi izin oleh ibu bapa untuk berjauhan.
“Kalau boleh saya nak sambung belajar macam kawan-kawan saya yang lain, ada kerja bagus, bukan saya cakap kerja jual ikan tidak bagus, cuma saya ingin pekerjaan yang lebih baik untuk menjamin masa depan.
“Saya nak sambung belajar, jumpa dengan orang ramai dan belajar benda baru. Itu perkara yang tidak tercapai sehingga kini,” katanya ketika ditemui TVS di Pasar Ikan Sebiew, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pemberian diskaun kepada golongan nelayan dan penjual ikan untuk melanjutkan pelajaran memandangkan rata-rata daripada mereka dari keluarga yang tidak berkemampuan dan miskin tegar.
“Kalau boleh tawarkan pembelajaran separuh masa untuk golongan bekerja seperti saya. Contohnya, saya kerja pagi hingga petang, jadi saya boleh pergi kelas di sebelah malam,” ujarnya. – TVS