SARIKEI: Mangsa, Ijah Lassa, 54 yang dilaporkan hilang semasa mencari sayuran hutan jenis Umbut ditemui dalam keadaan selamat selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 16 Jun lepas.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, mangsa telah dijumpai pada jam lebih kurang 9 pagi di pondok kebun milik penduduk Rh Banggau, Lubok Guchi, Sayong, Entabai, Julau.
“Masa perjalanan dari rumah panjang Rh Banggau, Lubok Guchi, Sayong, Entabai, Julau ke pondok tersebut mengambil masa lebih kurang 2 jam. Mangsa dilaporkan sudah berada di pondok berkenaan selama enam malam dan hanya makan serta minum dengan bekalan yang terdapat di pondok kebun tersebut.
“Mangsa masih hidup dan dalam keadaan sihat cuma mengalami sedikit kecederaan di kedua-dua belah kaki kesan berjalan dalam hutan,” katanya di dalam kenyataan, pada Selasa.
Terdahulu, Ops SAR di Rh Banyang Jamu, Nanga Lijan, Julau ditamatkan pada hari ke tujuh pelaksanaannya yang bermula pada 10 Jun yang lalu.
Dalam kejadian tersebut, Ijah dilaporkan pergi ke hutan terbabit bersama dua rakannya yang juga berusia dalam lingkungan 50-an sekitar jam 10 pagi.
Setelah mendapat beberapa hasil hutan, dua rakan mangsa telah mengajak mangsa untuk berehat sebentar sebelum pulang ke rumah panjang mereka.
Namun demikian, mangsa dilaporkan pulang seorang diri terlebih dahulu dan tidak menunggu untuk pulang bersama dua rakannya itu.