Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Polis menahan seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan kes pengasas bersama syarikat penerbangan. Foto hiasan

Ahli perniagaan ditahan bantu siasatan kes pengasas syarikat penerbangan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Polis menahan seorang ahli perniagaan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes pengasas bersama syarikat penerbangan yang ditahan Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 40-an itu yang merupakan pemegang saham satu daripada syarikat yang diasaskan oleh ahli perniagaan berkenaan, ditahan di rumahnya di Bangsar di sini pada 1 pagi tadi.

Lelaki terbabit direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan selepas permohonan reman dibuat di Lokap Berpusat Jinjang pagi ini, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Semua individu yang melabur dalam perniagaan melibatkan pengasas bersama syarikat penerbangan tempatan diminta untuk membuat laporan polis dan membantu siasatan. Laporan ini adalah penting untuk membantu siasatan polis selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Ramli berkata polis telah merampas 12 kenderaan mewah, dokumen berkaitan dua syarikat kepunyaan pengasas bersama bergelar ‘Datuk’ itu dan enam utas jam tangan mewah.

“Polis juga merampas lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu komputer dan 10 item barang kemas.

“Pengasas bersama syarikat penerbangan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tempoh reman beliau tamat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Selasa lepas, Bernama melaporkan polis menahan ahli perniagaan berusia 57 tahun itu bersama isteri, 55, dan anaknya, 26, di rumah mereka di Shah Alam, Selangor bagi siasatan kes mengikut AMLATFPUAA.

Reman terhadap isteri dan anak lelaki ahli perniagaan itu tamat pada Sabtu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan