LIMBANG, 23 Okt: Pasar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tedungan yang terletak di pintu masuk dan keluar sempadan Malaysia antara Limbang dan Brunei merupakan antara kawasan perniagaan yang wajib dikunjungi pembeli jika berkunjung ke daerah ini.
Pasar yang menempatkan 38 gerai jualan itu kini kembali ‘bernyawa’ selepas berada dalam suasana suram susulan dibadai pandemik COVID-19.
Biarpun tidak semeriah sebelum pandemik COVID-19 melanda, pasar itu yang dibuka sejak 16 tahun lepas kembali menjadi tumpuan pembeli dan pengunjung dan menjadi lubuk rezeki buat peniaga-peniaga di sempadan.
Seorang peniaga, Nazha Azieda Ain Mohd Kamal, 25, berasal dari Kampung Belading menjelaskan Pasar FAMA Tedungan menjadi tumpuan pembeli terutamanya dari Brunei.
Pasar berkenaan yang menjual pelbagai makanan, produk makanan kering, ayam panggang, buah-buahan dan sebagainya menjadi tempat persinggahan sebelum pembeli meneruskan perjalanan balik sama ada di Brunei dan Miri mahupun mereka yang ingin ke Sabah.
“Saya berharap tempat perniagaan kami ini ada penambahbaikan sebab gerai kami mudah terkena panas, hujan dan ribut. Jadi makanan kami tidak tahan lama dan terpaksa dibuang.
“Kami berharap ada penambahbaikan daripada kerajaan seperti kemudahan tamu di bandar Limbang termasuk ada ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kecurian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui TVS di Pasar FAMA Tedungan, hari ini.
Jelasnya, Pasar FAMA Tedungan antara pusat berniaga yang disediakan kerajaan, selain bangunan kedai lain di kawasan sempadan yang terletak lebih 40 kilometer (km) dari pusat bandar.
Seorang lagi peniaga, Amit Matasat berusia 80-an dari Kampung Belading bersyukur kerana kerajaan menyediakan kemudahan berniaga.
Beliau yang menjual parang tempatan selama 20 tahun menyifatkan Pasar FAMA Tedungan sebagai lubuk rezeki buat peniaga kerana dapat menjana pendapatan dan kerap dikunjungi pembeli terutama dari Brunei.
Katanya, Pasar FAMA Tedungan yang beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari akan kembali meriah setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kehadiran pengunjung untuk membeli-belah termasuk parang tempatan yang dihasilkannya.
Beliau boleh meraih pendapatan ratusan ringgit sehari bergantung dengan jumlah pelanggan.
“Pasar FAMA Tedungan ini merupakan tempat peniaga berjual kuih kering, ayam panggang dan sebagainya. Kami bersyukur kerana kerajaan menyediakan kemudahan berjaja terutama kepada pelanggan-pelanggan kita dari Brunei,” ujarnya lagi.
Bagi peniaga makanan kering, Asut Mat Daud 60, beliau tidak cukup tangan melayan pelanggan yang datang untuk membeli pelbagai makanan kering yang dihasilkan penduduk tempatan.
Antaranya kuih cincin, kerepek pisang, maruku tahai, madu kesirat dan pelbagai makanan tempatan lain.
Beliau menjelaskan selepas pandemik berlalu, rezeki berniaga bertambah dengan kemasukan pembeli dari luar sehingga mencecah pendapatan ratusan ringgit sehari. – TVS