SIBU, 22 Okt: Hasrat untuk melihat pembangunan mampan industri kandungan dan media digital di Sarawak memerlukan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, ini seterusnya akan membantu penggiat pencipta kandungan menjana pendapatan sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Katanya, pelan komprehensif yang dirangka berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 oleh Kerajaan Sarawak pula tepat pada masanya kerana akan memastikan wilayah ini tidak ketinggalan dalam bidang berkenaan.
“Ia bertindak sebagai fungsi asas dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pelan ini sebagai satu dokumen yang akan memacu perubahan ekonomi konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi mapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pencipta Kandungan Antarabangsa (ICCC) di sini semalam.
Persidangan anjuran Persatuan E-Platform Media Digital Sarawak dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) itu berlangsung selama dua hari.
Seramai 500 pencipta kandungan dari dalam dan luar negara menghadiri ICCC.
Sementara itu, Joseph berkata, objektif ditetapkan juga bertujuan bagi memastikan Sarawak tidak ketinggalan berikutan kebanyakan negara membangun lain sudah berada di hadapan dalam ekonomi digital.
“Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.-TVS