KUCHING, 21 Okt: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai untuk menyalurkan aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Menurut SPRM, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi di SPRM Cawangan Bintulu selama 24 jam bermula 24 Oktober hingga 4 November ini.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel prk2023_bintulu@sprm.gov.my atau menghubungi talian 086-316200,” kata agensi itu menerusi kenyataan media di Putrajaya hari ini.
Gelanggang PRK DUN Jepak ‘dibuka’ secara rasmi hari ini selepas Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) diterima sebagai calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada proses penamaan calon pagi tadi.
Sementara itu, SPRM turut mengingatkan semua calon yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – TVS