BINTULU, 21 Okt: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri memberi jaminan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Menurutnya, orang ramai terutama penduduk di kawasan DUN Jepak tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan sepanjang tempoh kempen dan pada hari pengundian.
“PDRM Sarawak telah bersedia secara keseluruhannya iaitu dari tempoh penamaan calon, kempen, hari mengundi dan pasca pilihan raya.
“Kita telah menyediakan kekuatan seramai 624 pegawai dan anggota yang ditugaskan di semua elemen yang ada di Sarawak ini iaitu (bantuan) dari Kuching, PGA, Unit Udara dan Unit Marin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Penamaan Calon PRK DUN Jepak di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Selain itu, Mohd Azman menasihati orang ramai untuk menjadi pengguna media sosial yang berdisiplin dengan tidak mengeluarkan atau menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar atau khabar angin palsu yang boleh disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi.
Beliau turut meminta calon-calon bertanding agar memohon permit bagi membolehkan mereka berkempen sepanjang 14 hari bermula hari ini sehingga 3 November.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Allahyarham Talib menyandang kerusi itu selama enam penggal dan kali terakhir mempertahankannya 2021 dengan majoriti 4,243 undi. – TVS