KUALA LUMPUR, 21 Okt: Penganjuran program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023 antara lain menyediakan platform untuk anak Sarawak meninjau peluang menabur bakti dan berkhidmat di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi LBAS anak-anak Sarawak yang berkelana di Semenanjung Malaysia dapat melihat sendiri pembangunan yang berlaku di Sarawak, selain peluang besar yang disediakan oleh pelbagai agensi.
“Apa yang lebih utama ialah untuk anak-anak Sarawak dapat memahami perancangan besar kerajaan Sarawak dan bagaimana mereka sebagai seorang pelajar dapat memainkan peranan dan mengisi ruang dan peluang yang disediakan oleh kerajaan.
“Misal kata kalau kita beralih kepada teknologi baharu, kita memerlukan tenaga mahir dan tenaga mahir mahu ke mana? Kita bergantung harap kepada anak-anak muda kita belajar ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pameran Digital 60 Tahun Sarawak Merdeka, ‘Meet & Greet Anak Sarawak’ dan Sarawak Products Pavilion di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Timbalan Pembangunan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib serta Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak.
Dalam pada itu Fadillah yang juga Pengerusi Pengelola LBAS berkata bagi tahun ini sebanyak 61 pempamer dari pihak kerajaan negeri dan swasta berkampung di MITEC dalam menyampaikan informasi kepada pengunjung yang hadir.
“Pameran yang terdiri daripada agensi kerajaan adalah untuk memberi informasi, apakah bidang kementerian dan apa perancangan yang mereka laksanakan terutamanya di peringkat kerajaan khusus yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kita.
“Saya memang menggalakkan dan menyeru bukan sahaja pelajar yang belajar di Semenanjung tetapi juga untuk anak-anak Sarawak di Semenanjung untuk datang,” katanya. – TVS