BINTULU, 20 Okt: Perancangan jangka masa panjang diusahakan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) adalah untuk membangunkan Kampung Jepak kepada Jepak Jaya, diilhamkan dari Petra Jaya di Kuching, yang dijangka merancakkan pembangunan serta sosioekonomi.
Penghulu Kampung Jepak, Ali Abang berkata penempatan rumah baharu serta pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan, sekali gus ke arah merealisasi perancangan mewujudkan Jepak Jaya.
Ali, yang lebih mesra disapa sebagai Bang Ali, menyifatkan pembangunan Kampung Jepak ini adalah drastik kerana dilimpahkan dengan kemudahan asas serba lengkap.
“Selama 30 tahun sebelum ini memang Jepak ini sunyi dengan pembangunan dan sekarang kita boleh lihatlah kerajaan bertungkus lumus membangunkan kawasan ini dengan pemberian infrastruktur asas seperti jalan raya yang begitu elok, kemudahan seperti sekolah, klinik dan tempat kita beribadat seperti surau dan masjid telah pun dibina di Jepak ini.
“Ikon kebanggaan kami iaitu pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak yang dilihat akan menjana satu teras perjalanan ekonomi di Jepak,” katanya ditemui TVS selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2023 di sini, semalam.
Beliau juga berkata pembinaan perumahan Jepak Jaya itu datang daripada kehendak penduduk setempat dan amat menghargai usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa memenuhi permintaan mereka.
Bang Ali juga berharap jika pembinaan perumahan dan jambatan itu siap, beliau memohon agar kerajaan membina sebuah pasar basah yang dilihatnya sebagai satu keperluan bagi merancakkan ekonomi setempat.
“Bukan itu sahaja, saya juga mahu dipertimbangkan untuk membuka sebuah stesen minyak kerana itu juga adalah satu keperluan asas yang diperlukan oleh kami kerana stesen minyak terdekat adalah di kawasan bandar.
“Begitu juga dengan pembinaan sekolah-sekolah baharu terutamanya sekolah rendah dan sekolah agama kerana sekolah rendah kami ini sudah melebihi kapasiti murid yang berjumlah lebih 1,000 orang murid,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap wakil rakyat yang dipilih pengundi pada 4 November kelak dapat terus membawa suara penduduk DUN Jepak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan membawa limpahan pembangunan dan ekonomi di kawasan berkenaan.
Pilihan Raya Kecil DUN Jepak diadakan susulan penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip yang meninggal dunia pada 15 September lepas.
GPS menamakan anak tempatan, Iskandar Turkee sebagai calon.
Hari penamaan calon akan diadakan pada 21 Oktober, manakala hari mengundi pada 4 November. – TVS