KUALA LUMPUR, 19 Okt: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui Sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan besar bagi menambah baik infrastruktur penanaman padi.
Kata beliau, ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan dua wilayah di Borneo itu sebagai Jelapang Padi Kedua Malaysia.
2,680 hektar kawasan di Sarawak berpotensi untuk pembangunan estet padi
Selain itu kata beliau, perkara itu menjadi keperluan mendesak untuk jaminan keselamatan makanan negara memandangkan negeri – negeri di utara yang mengeluarkan padi sering dilanda banjir yang menyebabkan tanaman terjejas.
“Saya akan menyatakan perkara ini berulang kali, perlu ada peruntukan untuk sistem pengairan khasnya di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana negeri utara sering dilanda banjir secara serentak pada Disember dan Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (Pakatan Harapan – Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini yang ingin tahu bila projek menaik taraf menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan dilaksanakan.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, beliau juga sedang berusaha bagi memastikan perkara itu dilaksanakan. TVS.