KOTA KINABALU: Istimewa buat penggemar anime dan pencinta muzik, festival muzik Animasi, Komik dan Permainan (ACG) pertama di Borneo iaitu ‘Borneo Matsuri” bakal menemui peminatnya di Sabah pada hujung minggu ini.
Festival anjuran KUPIKUPI FM, dengan kerjasama Projek Hikayat dan Hobbycon ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada 21 dan 22 Oktober, 2023.
Menurut Pengurus Besar KUPIKUPI FM, Lester Miol, penganjuran festival yang julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk meraikan budaya ACG Jepun yang impaknya dilihat begitu bertenaga dan luar biasa di seluruh dunia, termasuk di Borneo.
“Dunia ACG di Borneo telah berkembang pesat, malah telah menyelami budaya dalam kalangan kita sehingga menjadi ‘sub budaya’ khususnya para belia. Sudah pasti ia wajar diraikan serta diberi pengiktirafan atas segala bakat seni dan krestiviti mereka.
“Sebagai respon kepada ‘kebangkitan’ ACG itu, KUPIKUPI FM mewujudkan Borneo Matsuri sebagai platform bagi melonjakkan bakat anak muda ini agar menjadi perhatian, di samping memberi peluang kepada mereka mempamerkan kemahiran masing-masing iaitu daripada ‘cosplay’ menakjubkan kepada persembahan yang memukau,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Borneo Matsuri juga akan menjadi lebih daripada sekadar perhimpunan peminat ACG kerana ia membuka laluan kepada para belia mengembangkan minat mereka.
Tambahnya lagi, pengunjung boleh menjangkakan satu pengalaman baharu, di samping berpeluang beramah mesra dengan peminat yang ‘sekepala’ dengan mereka serta menemui aspek baharu yang menarik dalam ACG.
Festival dua hari ini bakal menampilkan barisan tetamu jemputan dan aktiviti yang dinamik, termasuk persembahan daripada artis tempatan popular, pameran ‘cosplay’, gerai barangan eksklusif, perbincangan panel, bengkel interaktif dan banyak lagi.
Untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai Borneo Matsuri, sila layari media sosial rasmi @borneomatsuri. – TVS