KUCHING, 18 Okt: Polis sedang menyiasat kes seorang pelajar perempuan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditemui meninggal dunia berhampiran sebuah pusat hiburan di Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, mangsa yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan pada Isnin (16 Oktober).
“Mangsa telah dihantar oleh pekerja pusat hiburan tersebut dan dirujuk ke pusat perubatan namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan oleh doktor yang bertugas.
“Hasil siasatan awal pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keterangan keluarga mangsa dan beberapa saksi lain selesai diambil.
Ahsmon dalam masa sama menasihati agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi untuk menjaga sensitiviti mangsa. – TVS