Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Iskandar Turkee bercakap kepada pemberita selepas namanya diumumkan sebagai calon GPS PRK DUN Jepak hari ini. Foto Muqri Aziz (TVS)

Iskandar berikrar teruskan legasi cemerlang Talib Zulpilip di Jepak

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 18 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee berikrar akan meneruskan perkhidmatan cemerlang bekas wakil rakyat di situ, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.

Jelas Iskandar, beliau mengenali Talib malah rapat kerana memiliki hubungan kekeluargaan.

Katanya, ketika masih bertugas sebagai Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, beliau pernah beberapa kali melaksanakan program bersama Talib.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab saya untuk menyambung legasi arwah.

“Bagi saya ini (dipilih sebagai calon GPS PRK DUN Jepak) sebagai satu penghormatan. Insya – Allah kita akan berjaya capai (kemenangan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon GPS PRK DUN Jepak oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Sementara itu, Iskandar, 54, berkata, beliau juga akan mempertaruhkan pengalaman luas dimiliki dalam sektor perkhidmatan awam bagi memenangi hati pengundi sekali gus mengekalkan Jepak di bawah GPS.

“Saya banyak berurusan dengan isu sosial, jadi di sini saya mempunyai kelebihan untuk mengenal pasti masalah yang timbul dan seterusnya melakukan langkah pencegahan awal untuk membantu individu bermasalah agar mereka tidak terbiar,” katanya.

Dalam pada itu, Iskandar memaklumkan, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam waktu terdekat untuk mempersiapkan strategi bagi menghadapi PRK.

“Selain itu saya juga akan menumpukan gerak kerja mendekati pengundi muda yang dilihat akan mempengaruhi jumlah undi,” katanya.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian Talib pada 15 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Hari Penamaan Calon PRK DUN Jepak pada Sabtu ini manakala hari pengundian pada 4 November depan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan