BINTULU, 18 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin Iskandar Turkee yang ditampilkan sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mampu memperkuatkan gabungan itu di sini.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana berdasarkan pengalaman luas dimiliki oleh bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak itu akan membantunya memberi khidmat terbaik kepada rakyat Jepak.
Kata Abang Johari, beliau percaya gandingan Iskandar bersama wakil rakyat GPS lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, ADUN Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dapat memperjuangkan kepentingan rakyat Bintulu.
“Kerajaan Sarawak memiliki barisan pemimpin yang kuat untuk kita meneruskan pembangunan yang sudah dilaksanakan di sini.
“Kita mahu jadikan Bintulu ini sebagai kawasan perindustrian yang terkemuka di Malaysia dan ini menjadi harapan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon GPS Sempena PRK DUN Jepak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Naib Presiden Kanan, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai.
Berhubung pemilihan Iskandar, Abang Johari mengakui Jepak mempunyai ramai calon yang berwibawa dan mampu membawa suara pengundi ke DUN Sarawak.
“Beliau juga berpengalaman bersama dengan golongan muda di kawasan ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu Abang Johari menyeru supaya pengundi memilih calon GPS bagi meneruskan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Iskandar, 54, memiliki Ijazah Sarjana (Pengurusan Sumber Manusia) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Beliau merupakan anak jati Jepak berketurunan Melanau. -TVS