JEPAK, 17 Okt: Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dilihat akan memberikan sokongan kepada wakil rakyat yang dapat membawa peluang pekerjaan ke kawasan itu dan penyediaan rumah mampu milik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, 4 November ini.
Meskipun kempen belum bermula, rata-rata penduduk yang ditemui TVS berkata, komitmen calon dalam menyediakan dua perkara berkenaan merupakan kriteria paling penting dalam menentukan pilihan bagi mengelak wakil rakyat yang bermusim.
Anak watan Jepak, Rosli Nahrawi, 64, berkata, pertambahan populasi di Jepak yang menyaksikan peningkatan golongan muda memerlukan pemerhatian khusus dari aspek peluang pekerjaan yang lebih banyak bagi mengatasi masalah pengangguran.
“Kita mahukan wakil rakyat yang mengetahui masalah yang dialami di kawasan ini, misalnya, di sini kita lihat kasihan anak muda yang rata-rata banyak yang menganggur.
“Kita mahu wakil rakyat yang boleh bawakan peluang pekerjaan dan kalau boleh dapat beri bantuan kepada mereka yang menganggur ini terlebih dahulu,“ katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Sementara itu, Siti Zulaiha Tahir, 32, pula berkata, dia berharap kemudahan penempatan baharu dapat diperluaskan di kawasan Jepak memandangkan kawasan itu dilihat semakin padat, namun kekurangan tempat tinggal.
“Sini kurang tempat tinggal, tak banyak rumah sewa dan rumah sewaan yang ada pun tidak cukup untuk menampung keluarga yang banyak.
“Selain itu, saya harap kemudahan internet dapat dinaik taraf sebab saya sebagai peniaga dalam talian memang memerlukan liputan internet yang stabil untuk memudahkan kerja saya,” katanya.
PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September yang lepas.
Untuk rekod, Allahyarham menyandang kerusi DUN Jepak selama enam penggal berturut-turut sejak 1996 dengan kali terakhir pada 2021 meraih majoriti 4,243 undi mewakili GPS menewaskan tiga pencabar lain. – TVS