SARIKEI, 17 Okt: Perlumbaan bot kawalan radio (RC) merupakan tumpuan utama Pesta Bintangor 2024 akan datang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurutnya acara yang julung kali diadakan itu telah menyaksikan kehadiran peserta bukan sahaja dari Sarawak tetapi juga penyertaan dari negeri Sabah dan Selangor serta negara jiran Thailand dan Brunei Darussalam.
“Sebenarnya saya sangat terkejut melihat respon daripada pengunjung dan penduduk Bintangor yang datang bagi menyaksikan perlumbaan bot kawalan radio (RC) ini. Ia merupakan satu acara yang sangat berjaya.
“Saya sudah memberitahu penganjur bagi memastikan acara perlumbaan bot kawalan radio (RC) akan diadakan lagi dalam pesta Bintangor tahun depan,” katanya kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Bintangor Remote Control Boat Race G-Powered River Challenge 2023 pada Isnin.
Tambahnya, beliau yakin penganjuran acara berkenaan bakal menjadi salah satu tarikan pengunjung ke Bintangor yang sebelum ini sinonim dengan perlumbaan bot laju berkuasa tinggi di samping meningkatkan sektor ekonomi setempat.
Ujarnya, dengan persiapan yang lebih rapi menjelang edisi seterusnya, pastinya akan lebih ramai penyertaan dan kehadiran penggemar sukan tersebut khususnya dari luar negara.
“Kita dapat menarik lebih ramai penyertaan, seboleh-bolehnya dari luar negara. Jadi, kita mampu menjadikan acara ini lebih berjaya,” ujarnya lagi.
Lima kategori yang dipertandingkan ialah Class FH, Champ of the Champ, Class A, Class D dan Class EG.
Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang dan Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Lau Chi Sing. – TVS