KUCHING, 16 Okt: Penantian yang cukup lama namun berbaloi.
Itulah yang dirasai oleh penyanyi terkenal Iban, Melissa Francis apabila impian untuk menggenggam segulung ijazah tercapai selepas 11 tahun.
Di sebalik tempoh lama itu, Melissa yang popular dengan lagu Pengidup Aku berbangga kerana ketekunannya melayakkan dia bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Open University Malaysia (OUM).
RWMF perkenal muzik dan budaya Sarawak ke mata dunia – Melissa Francis
Ujar penyanyi berusia 37 tahun ini, tiada yang mustahil untuk berjaya kerana doa yang diiringi usaha pasti akan membuahkan hasil biarpun mengambil masa yang lama.
“Aku belajar sesuatu daripada kehidupan ini. Jangan sesekali putus asa, tidak percaya kepada doa.
“Berdoa sepenuh hati dan diiringi dengan usaha, impian pasti akan menjadi kenyataan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
RWMF perkenal muzik dan budaya Sarawak ke mata dunia – Melissa Francis
Sehingga berita ini ditulis, perkongsian Melissa di media sosial itu turut dihujani ucapan tahniah daripada pengikutnya selain menerima lebih 16 ribu tanda suka.
Posting berkenaan dikongsi lebih 400 orang.
Dalam pada itu, Melissa mengucapkan terima kasih kepada keluarga, saudara dan OUM yang banyak memberi semangat dan membantunya sepanjang pengajian di OUM.
Sebelum ini, Melissa mengakui dia pernah berhenti belajar ketika berada di tingkatan 6 atas sehingga mengecewakan ibu bapanya.
Namun katanya, hari ini dia menebus kehampaan orang tuanya terutamanya bapanya yang ingin melihat dia berjaya dalam pelajaran. -TVS