KUCHING, 16 Okt: Jabatan Perikanan Malaysia bercadang untuk membina pangkalan baharu di Bintulu menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Bohari Leng berkata, ketika ini perkara berkenaan masih di peringkat rancangan.
Kata beliau, pangkalan baharu itu kelak sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada di Sarawak.
“Ia juga bergantung kepada peruntukan, jika diluluskan di bawah RMK-13, kita bina pejabat baharu, mungkin akan tambah sebagai pangkalan perlindungan perikanan atau penguatkuasaan di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis penyerahan tiga bot peronda laju Perikanan di Pejabat Perikanan Wilayah 1 Santubong di sini hari ini.
Setakat terdapat lima pangkalan perikanan di Sarawak antaranya Santubong, Tanjung Manis, Mukah, Lawas dan Miri.
Mengulas lanjut, Bohari berkata, beliau berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan bagi memastikan pengoperasian perikanan di perairan Sarawak dapat dilaksanakan dengan menyeluruh. -TVS