KUCHING, 16 Okt: Seramai 624 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua mereka ditugaskan mengikut beberapa fasa bermula pada 21 Oktober hingga 6 November depan.
Katanya, persiapan rapi sedang dilakukan bagi memastikan kelancaran setiap proses PRK itu.
“Berkenaan dengan PRK DUN Jepak juga, PDRM ingin mengingatkan semua pengundi dan penyokong parti politik agar berdisiplin serta tidak mencetuskan sebarang provokasi sepanjang tempoh berkempen dan semasa hari pengundian.
“Para pengundi juga dinasihati untuk keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu berasa bimbang mengenai keadaan keselamatan.
Beri kepercayaan kepada Abang Johari pilih calon terbaik PRK DUN Jepak
“Ini kerana PDRM akan memastikan proses PRK DUN Jepak berlangsung dalam keadaan aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 21 Oktober sebagai hari penamaan calon manakala 31 Oktober sebagai hari pengundian awal.
Hari mengundi pula pada 4 November depan.
PRK di DUN terbabit terpaksa diadakan selepas berlaku kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Berdasarkan daftar pemilih terkini, DUN Jepak mempunyai seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 orang pengundi biasa dan 43 orang anggota polis. -TVS