BEIJING, 16 Okt: China akan melaksanakan persiapan dalam menjadi tuan rumah kepada wakil dari 130 negara bagi forum Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China dengan isu di Palestin sebagai tumpuan utama.
Antara senarai jemputan adalah Presiden Rusia, Vladimir Putin, lapor AFP.
Selain berhasrat untuk membantu meningkatkan kedudukan China sebagai kuasa global terkemuka, forum berkenaan juga akan meletakkan konflik di antara kumpulan militan, Hamas dan Israel sebagai rundingan mustahak.
Menteri Luar China, Wang Yi telah mengecam tindakan Israel yang telah melangkaui hak kemanusiaan serta mengancam keselamatan orang awam dan menyeru untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk di Gaza.
Menurutnya, republik itu terus berpihak kepada keadilan, keamanan dan undang-undang antarabangsa dalam isu ini, malah akan terus berkomunikasi dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyalurkan bantuan ke Semenanjung Gaza.
“(Israel) harus mendengar dengan bersungguh-sungguh seruan masyarakat antarabangsa dan Setiausaha Agung PBB dan menghentikan hukuman kolektifnya terhadap penduduk Gaza,” katanya pada Ahad.
Wang juga menyeru China untuk menggunakan pengaruhnya di Timur Tengah bagi mendesak kepada keamanan.
Beijing sebelum ini juga telah dikritik oleh pegawai Barat kerana tidak menyebut Hamas secara khusus dalam kenyataannya mengenai konflik Israel-Gaza. -TVS