KUALA LUMPUR, 16 Okt: Ahli Dewan Rakyat tidak lagi dibenarkan untuk membuat ‘live streaming’ dalam Dewan Rakyat.
Perkara tersebut dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul semasa pembukaan sidang Dewan Rakyat untuk Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas pada Isnin.
Katanya, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan trend ahli Dewan Rakyat memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk membuat ‘live streaming’ di media sosial semasa ucapan menteri ketika sesi persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat live streaming dalam Dewan Rakyat.
“Peraturan Mesyuarat 35(1) mengkehendaki Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengarahkan sebarang ucapan kepada Pengerusi. Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan tersebut kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan tersebut,” katanya.
Ujarnya, rakaman perbahasan di Dewan Rakyat boleh ditonton melalui siaran langsung sidang Dewan Rakyat di YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.
Beliau turut meminta ahli Dewan Rakyat untuk memberi kerjasama dalam perkara ini bagi memastikan kelancaran persidangan.
Sementara itu, dalam pemahsyuran yang lain Johari turut memaklumkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap hari Selasa sepanjang tempoh mesyuarat ini dijawab oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebanyak tiga pertanyaan.
“Bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada lebih ramai Yang Berhormat untuk mengutarakan soalan bagi setiap pertanyaan MQT, saya telah mengambil keputusan untuk membuat petua di bawah Peraturan Mesyuarat 100 dan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 24(5A) dan 24A(7) untuk membenarkan Perdana Menteri menjawab dua pertanyaan MQT pada hari Selasa dengan diperuntukkan 15 minit bagi setiap pertanyaan.
Ujarnya, peruntukan masa setiap pertanyaan ini membolehkan lebih soalan tambahan diajukan kepada Perdana Menteri untuk setiap pertanyaan dan pemahsyuran ini berkuatkuasa pada esok, Selasa, 17 Oktober 2023. -TVS