KUCHING, 16 Okt: Borneo Opera Festival 2023 (BOF2023) melabuhkan tirai dengan persembahan yang cukup memukau daripada gandingan ahli muzik tersohor antarabangsa.
Menurut Penganjur Borneo Opera Festival 2023, Pauline Pike, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah untuk menganjurkan konsert tersebut adalah untuk memperkenalkan variasi muzik klasik bertaraf dunia kepada rakyat Sarawak.
Ujar Pauline, aturcara yang disediakan membolehkan penonton menikmati keindahan dan menginterpretasi seni berat melalui persembahan bertaraf dunia.
“Secara prinsipnya, antara faktor utama mengapa saya memulakan projek Borneo Opera Festival adalah Sarawak mempunyai potensi yang cukup luas,” katanya.
Tambah Pauline merangkap ibu kepada Jeanne-Marie Druce, idea untuk mengadakan konsert tersebut tercetus apabila beliau melihat potensi anaknya untuk pergi lebih jauh sehingga menjadi penyanyi soprano antarabangsa dan menjadi inspirasi untuk anak Sarawak mengejar impian.
“Orang kita kebanyakannya berbakat cuma bakat itu kurang diasah dan digilap seperti saya melihat anak saya sendiri (Jeanne).
“Jeanne sebenarnya memberi inspirasi kepada saya untuk menganjurkan Borneo Opera Festival disini,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Ahad.
Bagi figura ikonik, Jeanne-Marie Druce, 29, berbangsa Melanau Mukah-Dalat yang boleh menguasai enam bahasa termasuk Itali, Jerman, Cina, Melanau, Melayu Sarawak dan petah berbahasa Inggeris menyifatkan walaupun berhadapan dengan rintangan dan cabaran namun itu tidak menjadi batu penghalang untuk mengejar impian.
“Seumur hidup saya, impian dan cita-cita saya adalah hendak menjadi seorang ahli muzik yang terkenal. Saya mahu menyanyi. Jadi semasa saya melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda di Australia, saya amat tertarik dengan sebuah opera La Traviata di opera house.
“Saya melihat seorang penyanyi soprano wanita mengalunkan lagu yang begitu mengasyikkan iaitu De Aria of Violetta Valery. Pada saat itu saya memberitahu diri saya, saya mahu jadi macam penyanyi soprano tersebut. Selepas peristiwa tersebut saya mula berlatih dengan guru opera saya di Australia. Kemudian melanjutkan pengajian di Eropah bersama Maestro Alfio untuk mengejar karier saya dalam dunia opera,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Alfio Graaai sebagai Bariton merangkap guru muzik Jeanne, Sarawak menjadi tarikan utama untuk menganjurkan Borneo Opera Festival kerana anak didiknya berasal dari Sarawak.
Selain itu, beliau mahu memperkenalkan acara berprestij yang baharu di Sarawak sekali gus meletakkan Sarawak di peta dunia.
“Idea penganjuran Projek Borneo Opera Festival tercetus semenjak dua tahun lepas bersama Pauline. Kami mahu mempromosikan sesuatu yang baru kepada Sarawak. Kami bekerja keras untuk memastikan projek ini menjadi realiti.
“Hari ini kami cukup berbangga berada di sini bersama dengan anak didik saya Jeanne dan kawan baik saya Loan Vrasmas. (Loan) merupakan Ketua Okestra dan saya cukup berterima kasih atas kepercayaan beliau kepada saya. Hari ini kami berada di dewan yang cukup indah untuk persembahan terakhir,”ujarnya.
Tambah Alfio raptai dan latihan telah lama dirancang sepanjang tempoh dua tahun tersebut.
“Raptai kami bermula di Romania sebelum ini. Hari ini orkestra berada di sini selama tiga hari dan kami bertungkus lumus dan bekerja keras. Raptai biasanya mengambil masa 8-9 jam satu hari,” ujarnya sebelum mengakhir perbualan. -TVS