KUCHING, 14 Okt: Peruntukan berjumlah RM160 juta bagi industri seni dan media disambut positif oleh para penggiat seni tanah air meskipun ia menurun, kata penyanyi lagenda, Awie.
Namun pemilik nama sebenar, Dato’ Ahmad Azhar Othman itu tetap menzahirkan sokongan padunya terhadap inisiatif kerajaan terbabit untuk membantu industri seni.
“Belanjawan 2024 nampaknya ada penurunan, bajet untuk seni dan media ini ada penurunan daripada tahun 2020 hingga 2022, kalau tak silap saya.
“Bajet ini pernah menjangkau ke RM280 juta. Dan ini ada sedikit penurunan dan saya tak pasti sangat apa yang kerajaan melihat tentang ini.
“Mungkin ada pelan-pelan lain yang ingin dibangunkan, yang ingin diusulkan juga. Insya-Allah kita tunggu apa langkah seterusnya daripada penurunan angka RM280 juta ke RM160 juta ini.
“Bagi saya, saya tak berani untuk menyatakan apa-apa komen, kerana saya ingin melihat apa tindakan kerajaan selepas ini,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Berhubung isu pengecualian penuh duti hiburan dan persembahan pentas, Awie juga menyokong penuh atas cadangan tersebut ekoran langkah terbabit menbantu kerjaya artis-artis tempatan.
Dalam pada itu, Awie turut menyarankan agar kerajaan memantau peningkatan harga dan perubahan yang mungkin terjadi dalam industri ini.
“Ada kemungkinan pemain tertentu atau tempat acara tertentu akan menaikkan harga sewaan, harga cukai yang tersorok yang boleh menambah beban kos atas ketiadaan cukai hiburan ini.
“Oleh itu, pemantauan kerajaan adalah penting untuk memastikan harga sewaan dan kos-kos tersembunyi dikekalkan pada tahap yang wajar,” jelasnya.-TVS