Kuching, 14 Okt: Sarawak harus terima peruntukan yang lebih besar kerana ia merupakan antara negeri yang begitu signifikan dalam menyumbang kepada pendapatan negara.
Pakar Ekonomi, Dr Dzul Hazwan Husaini berkata meskipun kependudukan di Sarawak hanya lebih 10 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia, namun negeri berkenaan mempunyai faktor geografi yang luas dan kepadatan penduduk yang berselerak.
Ujarnya, karaktor Sarawak yang begitu unik seperti mempunyai taburan penduduk yang berselerak juga menjadi faktor utama mengapa perbelanjaan pembangunan yang besar harus difokuskan kepada Sarawak.
“Kita perlukan satu perbelanjaan yang besar untuk membina infrastrutur yang efektif, efisien dan komprehensif.
“Ini bagi memastikan agar setiap kelompok penduduk yang tinggal di Sarawak ini dihubungkan dengan bandar yang besar agar mereka mendapat limpahan ekonomi.
“Memang kita telah mendapat limpahan ekonomi dan membina pan borneo dan tanpa tol maksudnya itu adalah kepunyaan kerajaan tetapi tidak mencukupi.
“Karaktor geografi yang saya maksudkan tadi hanya menghubung bandar-bandar utama dan setiap bandar utama ada anak-anaknya lagi di kawasan pedalaman dan luar bandar yang perlu kita rantaikan hubungan melalui infrastruktur.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Kota Samarahan pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau memberitahu sekiranya semua infrastruktur dapat dibangunkan maka ia nya akan membantu meningkatkan darjat hidup rakyat jelata.
“Melalui hubungan infrastruktur ini akan dapat meningkatkan ekonomi rakyat…Ekonomi rakyat ini tadi kita akan bebas daripada harga barang yang tinggi.
“Kalau kita lihat diluar bandar dan di pedalaman ini harganya jauh lebih tinggi daripada bandar.
“Itu tidak relevanlah kita tertekan dengan masalah kewangan dengan pendapatan yang rendah daripada golongan bandar tapi mereka ditimpa dengan masalah harga barang yang tinggi dan itu masalah lokal.
“Kita harus faham dari segi perniagaan ia melibatkan kos tambahan. Jadi dengan adanya infrastruktur yang komprehensif ini dapat menyelesaikan masalah rakyat tempatan,” ujarnya.
Terdahulu,dalam pembentangan belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion untuk Sarawak.
Untuk Rekod, Sabah menerima peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam belanjawan 2023 berbanding RM5.16 bilion pada 2022.
Manakala Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022. -TVS