Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gung Chiu Kion, kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan pegawai DID turun padang melakukan tinjauan sebelum menyaksikan penyerahan tapak projek kepada kontraktor yang bertanggungjawab. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

RM147,915 laksana projek tebatan banjir SK Ulu Meradong

SARIKEI, 14 Okt: Kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei meluluskan sebanyak RM147,915 untuk melaksanakan projek tebatan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Meradong, di sini.

Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, banjir yang sering berlaku di kawasan sekolah itu dikenal pasti berpunca daripada limpahan takungan air akibat masalah saliran dan parit yang tersumbat.

Keadaan itu katanya, bukan sahaja boleh mengancam keselamatan murid tetapi juga bangunan sekolah berkenaan.

“Selepas menerima permohonan pihak sekolah, saya telah mengambil tindakan dan membincangkan langkah penyelesaiannya bersama DID. Akhirnya, saya telah berjaya mendapat peruntukan bagi tujuan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beliau yang diwakili Gung Chiu Kion, kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan pegawai DID turun padang melakukan tinjauan sebelum menyaksikan penyerahan tapak projek kepada kontraktor yang bertanggungjawab.

Tiong Sii berkata, projek yang meliputi kerja pembersihan parit sepanjang 980 meter dan pembinaan sistem pemparitan yang baharu sepanjang 160 meter itu dijangka dilaksanakan sepanjang tempoh tiga bulan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) SK Ulu Meradong, Ali Leban Anoi, memberitahu sekolah yang dibina pada tahun 1970-an itu, mempunyai lebih 60 murid yang sebahagian besarnya dari 10 rumah panjang yang berdekatan.

Menurutnya, sekolah itu dilanda banjir sepanjang tahun terutama pada musim hujan dan ketika paras air sungai meningkat.

“Paras air boleh mencecah kedalaman maksimum 4 hingga 5 kaki dan menyukarkan murid dan guru untuk pergi ke sekolah. Malah, sesi pengajaran juga terganggu berikutan masalah tersebut. Akibat banjir juga, beberapa struktur bangunan sekolah rosak dan reput,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan