Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Len Talif menyempurnakan Majlis Perasmian Surau. Foto: TVS.

Sarikei bakal berubah wajah

SARIKEI, 14 Okt: Sarikei bakal berubah wajah melalui pelan pembangunan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri dengan menjadikan daerah ini sebagai pusat perkembangan di Zon Tengah Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha itu sebahagian inisiatif untuk memastikan daerah ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Len Talif menyerahkan projek siap kepada Ketua Kaum Kampung Dibah, Sehon Ujang sambil diperhatikan yang lain. Foto: TVS.

Menurutnya, pelan pembangunan jangka panjang itu bakal memberi impak besar kepada penduduk Sarikei seiring dengan siapnya projek lain seperti jambatan dan jalan ke Tanjung Manis, Taman Agro dan lain-lain lagi.

“Saya optimis Sarikei akan mengalami perubahan besar kerana dalam mesyuarat bersama State Planning Authority (SPA) baru-baru ini, kita merancang untuk membangunkan Sarikei sebagai pusat perkembangan zon tengah.

“Mesyuarat ini dipengerusi sendiri oleh Premier Sarawak,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Surau Darul Huda Kampung Dibah, pada Jumaat malam.

Menyentuh konsep Darul Hannah bagi pelaksanaan pembangunan di kawasan penempatan baharu, Len Talif berkata, secara prinsipnya perkara itu telah diluluskan oleh Premier Sarawak.

Ketika ini katanya, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sedang merangka pembangunan induk bagi tujuan berkenaan.

“Dari segi prinsipnya sudah dipersetujui, sekarang ini LCDA sedang merangka plan induk, bagaimana kawasan ini (Kampung Dibah) dapat dipertahankan melalui pelbagai pendekatan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerjasama semua pihak bagi merealisasikan pelaksanaan projek pembangunan yang bakal mengubah wajah Sarikei dalam tempoh jangka panjang.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Surau Darul Huda yang terletak di tebingan Sungai Rajang, pembinaannya disempurnakan dengan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang sebanyak RM500,000.

Surau yang terletak di Jalan Drahman Kria itu bukan sekadar tempat bersolat sebaliknya menjadi lokasi penting untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan