Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Status dan punca kerosakan Jambatan Sungai Musah sedang dikaji dengan teliti serta laporannya akan dikeluarkan setelah ianya selesai, kata Nanta. Foto fail: Alexander Nanta Linggi (FB)

Punca Jambatan Sungai Musah di Kapit runtuh sedang dikaji – Nanta

ByFebbright James

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Kajian sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan Jambatan Sungai Musah di Kapit serta laporan akan diumumkan setelah ia selesai, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perkara itu didedahkan beliau bagi membidas kenyataan Pengerusi DAP Chong Chieng Jen yang mengatakan bahawa tiada sebarang tindakan yang dilakukan Kementerian Kerja Raya berkaitan isu terbabit.

Menurut Nanta, segala tindakan dan perkara yang berkaitan telah dilaksanakan dan beliau serta beberapa pihak berkepentingan seperti Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan juga telah turun padang bagi memantau sendiri keadaan jambatan tersebut.

“Pertama, ingin saya jelaskan disini kepada Chong ingin bahawa jambatan tersebut di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD). Bukan di bawah seliaan Kementerian kerja Raya.

“Walaubagaimanapun, sebagai ahli Parlimen di kawasan berkenaan dan juga Menteri Kerja Raya, saya tetap bertanggungjawab memastikan punca keruntuhan jambatan ini berlaku dikenalpasti bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku di masa akan datang,” katanya kepada TVS di pejabatnya di Parlimen di sini, hari ini.

Tegas beliau perkara tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan ekoran ia sememangnya mengambil sedikit masa untuk pihak berkaitan melakukan siasatan dan kajian.

“Sebab itu, saya minta Chong sabar sedikit sebab pihak bertanggungjawab sedang membuat siasatan sedang mengatur jalan alternatif untuk pengguna di kawasan tersebut kerana siasatan ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

“Kita (KKR) dan saya sendiri mengambil berat perkara ini. Oleh itu, biarkan pihak berkuasa menjalankan kerja mereka,” tambahnya.

Sebelum ini, Chong menerusi sebuah akhbar tempatan memaklumkan bahawa tidak ada sebarang kemas kini mengenai status jambatan tersebut dibuat sama ada dari Nanta mahupun pihak JKR sejak jambatan tersebut runtuh pada 21 September yang lepas.

Chong dalam laporan berita berkenaan menimbulkan beberapa perkara seperti apakah punca jambatan tersebut runtuh dan adakah kerajaan akan mengambil tindakan kepada kontraktor, perunding dan penyelia projek jambatan tersebut serta adakah pembinaan jambatan tersebut memenuhi piawaian sepatutnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan