KUCHING, 12 Okt: Mempertaruhkan bakat muda filem ‘Sazali Coco Meor’ menceritakan tentang tiga sahabat akrab datang ke kota demi mengejar impian menjadi popular.
Mereka akhirnya berjaya mencapai apa yang diidamkan setelah melalui pelbagai peristiwa hidup.
Menampilkan Iman Zulkarnain, Shah Radhy dan Syazani Zikry sebagai pendukung watak utama, pengarahnya, Zizan Nin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya penerimaan kepada para penonton.
“Pertaruhan saya tidak semestinya mereka yang popular sahaja kerana jika dilihat sebelum ini, ada juga pelakon popular yang membintangi sesebuah filem itu namun tidak mendapat sambutan hangat.
“Saya lebih kepada menyahut cabaran netizen atau penonton yang berkata mereka sudah jemu melihat pelakon yang selalu keluar di kaca TV berlakon dalam panggung wayang.
“Mereka berkata untuk apa ke panggung wayang jika boleh melihat pelakon di kaca TV secara percuma,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Tambahnya, filem yang berkategorikan 16 tahun dan ke atas ini bakal memaparkan kehidupan ragam masyarakat di bandar yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayang selain dari miskin bandar.
“Dalam filem ini, tiga watak tersebut amat alpa bermakna dia tahu akan kewujudan media sosial tetapi tidak mengambil peduli akannya. Mereka masih dalam pemikiran jika ingin menjadi terkenal seperti pelakon dan penyanyi harus terpapar dalam kaca TV, surat khabar dan sertai ujibakat.
“Berbanding zaman digital yang semuanya di hujung jari sahaja, jika kita ingin berbicara mengenai aplikasi yang mempunyai banyak kegunaan di internet, kita boleh menjadi bintang dalam sekelip mata sahaja bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Ia amat berbeza ketika saya amula-mula menjadi pelakon atau selebriti dahulu,” katanya lagi.
Beliau berharap Sazali Meor Coco mampu mendidik masyarakat menerusi gambaran seperti yang dilakonkan dalam filem tersebut.
Filem sulung arahannya dan terbitan Aquila Emas Sdn Bhd bakal menemui penonton di pawagam pada 16 November ini. – TVS