Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penumpang MyAirline Sdn Bhd di Kota Kinabalu mahu pihak syarikat itu mengambil tanggungjawab atas kerugian mereka. Foto: MYAirline (FB)

Penumpang mahu MYAirline ambil tanggungjawab pembatalan penerbangan

ByBernama

KOTA KINABALU, 12 Okt: Penumpang MyAirline Sdn Bhd di sini mahu pihak syarikat itu mengambil tanggungjawab atas kerugian mereka berikutan pembatalan penerbangan dan penggantungan operasinya yang berkuat kuasa hari ini.

Suziana Ottoh, 36, hanya menyedari pembatalan penerbangan itu kira-kira 10 pagi tadi selepas tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada 6 pagi dari Lahad Datu yang jaraknya lebih 400 kilometer.

Beliau bersama lima anaknya dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur pada 4.20 petang 14 Okt ini, tetapi waktunya telah ditunda kepada 9.50 malam.

“Saya tidak pasti sama ada (penerbangan jam 9.50 malam) itu dibatalkan atau tidak. Saya takut kalau dibatalkan lagi macam hari ini, sia-sia saja menunggu,” katanya kepada Bernama di KKIA di sini, hari ini.

MYAirline Sdn Bhd dalam satu kenyataan awal pagi ini memaklumkan menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini hingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Suziana berkata dia terpaksa datang awal dua hari bagi mengelak tertinggal pesawat kerana pernah terjadi sebelum ini apabila syarikat penerbangan tidak membenarkan mereka menaiki pesawat hanya kerana lewat beberapa minit.

Sementara itu, Fresella June Gunihas, 22, berkata dia datang ke pusat jualan MYAirline kerana mahu mendapatkan penjelasan mengenai jadual penerbangannya yang sepatutnya pada 18 Okt tetapi telah diubah.

Katanya berikutan masalah itu, dia terpaksa membayar RM1,600 disebabkan kesilapan sistem syarikat itu yang mengubah tarikh penerbangannya kepada bulan November.

“Saya diminta membayar tambahan harga dan penalti yang bukan berpunca daripada kesalahan saya. Saya tidak faham sistem MYAirline ini,” katanya yang mahu ke Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan untuk melawat ahli keluarganya yang sakit.

Fadzhil Rosleh, 32, juga melahirkan rasa kecewa apabila tiket penerbangan adiknya bersama ibu dan anak saudara ke Kuala Lumpur pada petang ini telah dibatalkan.

Beliau berkata adiknya, Diana Rosleh, 31, tiba dari Kuala Lumpur semalam dan akan pulang ke Kuala Lumpur petang ini, namun terpaksa pula berdepan dengan situasi itu.

“Sekarang ini kami tidak tahu dengan siapa kami perlu berurusan, pusat jualan MYAirline pun tutup. Tiket sudah dibeli dan bukannya murah untuk tiga orang,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu.

Dua penerbangan iaitu Kota Kinabalu -Tawau dan Kota Kinabalu – Kuala Lumpur dibatalkan oleh syarikat berkenaan.

Di Sabah, penggunaan kapal terbang terutama dari Kota Kinabalu ke kawasan pantai timur dan kawasan pedalaman adalah satu keperluan kerana tempoh yang singkat berbanding perjalanan darat yang mengambil masa lapan hingga sembilan jam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan